Shah Alam

Shah Alam ialah sebuah bandaraya yang terletak di negeri Selangor, Malaysia. Shah Alam menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang baharu selepas Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Pesekutuan pada 1 Februari 1974.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bandar raya ini ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Sejarah Shah Alam
Kawasan Shah Alam pada hari ni dikenali dengan nama Sungai Renggam pada satu masa dahulu. Kawasan ini juga terkenal dengan tanaman getah dan kelapa sawit.
Kemudiannya, kawasan ini dikenali dengan nama Batu Tiga sebelum merdeka. Dengan saranan Vlado Antolic, perancang bandar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan negeri Selangor memperuntukkan kawasan ini untuk dibangunkan sebagai bandar. Kedudukan kawasan ini strategik kerana lokasinya yang terletak antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.
Pembangunan bandar raya ini adalah satu proses yang unik dan baharu untuk Malaysia kerana bandar raya ini merupakan bandar terancang pertama di Malaysia selepas Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Bandar raya ini menggantikan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978. Sebelum Kuala Lumpur, ibu negeri bagi negeri Selangor ialah Klang.
Datuk Bandar pertama bagi bandar ini ialah Dato’ Haji Abu Sujak Haji Mahmud. Beliau menyatakan visinya untuk menjadikan bandar ini sebagai bandar moden dengan identiti unik, Bandaraya Melayu. Selaras dengan visi ini, Shah Alam dikatakan sebagai bandar pertama dalam dunia ini yang tidak mempunyai pusat hiburan untuk mengelakkan perbuatan maksiat.
Jaringan Pengangkutan
Bandar Raya ini dihubungkan dengan pelbagai lebuh raya seperti Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE), Shah Alam Expressway (KESAS), Guthrie Corridor Expressway (GCE), North-South Expressway Central Link (ELITE) dan lebuh raya terbaru, Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
Terdapat sebuah stesen KTM Komuter di Seksyen 19. Stesen RapidKL LRT Laluan Kelana Jaya pula mempunyai dua stesen di bandar raya ini, iaitu Alam Megah (KJ 35) dan Subang Alam (KJ 36).
Hospital dan Klinik
Terdapat sebuah hospital kerajaan dan empat buah hospital swasta di sini.
Hospital kerajaan baru dibuka pada 5 Oktober 2015 setelah penangguhan selama 4 tahun.
Tempat Menarik Untuk Dilawati
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz: Masjid ini seakan ikon kepada bandar raya ini. Masjid ini dikatakan sebagai masjid paling besar di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Kubah utamanya mempunyai diameter 51.2 meter dan berketinggian 106.7 meter dari aras tanah. Selain daripada itu, masjid ini juga memiliki empat buah minaret yang berketinggian 142.3 meter dari aras tanah. Pembinaan masjid ini selesai pada 11 Mac 1988.
Muzium Sultan Alam Shah (Muzium Negeri Selangor): Muzium ini menempatkan maklumat berkenaan negeri Selangor. Muzium ini dibuka pada tahun 1989 oleh Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Muzium ini dibuka pada 9:30 pagi hingga 5:30 petang setiap hari dan ditutup sepanjang hari pada hari Isnin.
Sumber
- Sejarah Negeri Selangor – Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor